Mistikus Cinta

0
Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas
Ulama Paling Berpengaruh Di Terengganu
Tidak dapat dinafikan bahwa yang mewarnai corak keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad ke-20, terdiri dari dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu ialah, pertama: Berasal dari ulama-ulama Patani, dan kedua: Dari keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan `sayid'.

Di antara ulama yang paling besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu.

Pendidikan
Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul Qadir lebih muda dari Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat, Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) maupun di pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah. Dalam riwayat yang lain pula menyebut bahwa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah, beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh.

Kepada ulama-ulama Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim, Mufti Syafi'i di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain.

Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah, beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu diambilnya karena di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih banyak dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil, Terengganu beliau memulai aktivitasnya sebagai seorang ulama.

Aktivitas
Syeikh Abdul Qadir mulai mengorak langkah di mana saja beliau pergi dalam negeri Terengganu beliau memperkenalkan ajaran Islam menurut Mazhab Syafie dan iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau merancang membuka sebuah institusi semacam pondok di Patani, karena pada zaman itu pengajian pondok memang di Patani yang paling terkenal di rantau ini. Sama ada di Terengganu maupun di tempat-tempat lainnya, pengajian pondok tidaklah sekukuh seperti di Patani sendiri. Apabila rancangannya itu telah mantap, beliau pulang ke Patani dengan tujuan mendapatkan rancangan kerja yang lebih mantap atau konteks kerjasama dalam dunia pendidikan pondok dengan beberapa orang Tok Guru maupun ahli keluarga beliau yang menjadi ulama yang memimpin pondok di Patani. Setelah sampai ke Patani, niat beliau terkendala karena pada masa itu terjadi suatu peperangan besar antara Kedah-Patani terhadap pencerobohan bangsa Siam.

Peperangan besar yang melibatkan beberapa orang tokoh ulama itu diikuti pula oleh Syeikh Abdul Qadir sendiri.

Pengajian Pondok
Dipercayai beliau datang ke Pulau Duyung kali kedua ini sekitar tahun 1830an M. Ketika itu beliau mulai mengajar di Kampung Paya Bunga, Duyung. Syeikh Abdul Qadir mendirikan sebuah masjid di Bukit Bayas. Di kedua tempat itu beliau membina pengajian pondok menurut tradisi di Patani. Kemudian oleh sebab beliau memusatkan aktivitasnya di Bukit Bayas, maka terkenallah namanya kemudian hari dengan gelar Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, pengganti kepada nama terkenal sebelumnya yaitu gelar Syeikh Abdul Qadir Duyung (Tok Duyung saja).

Penulisan
At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa Asy-Syira, diselesaikan waktu duha, hari Isnin, 2 Rabiulawal 1234 H, di negeri Terengganu. Kandungannya membicarakan tentang perniagaan menurut ajaran Islam, mengemukakan hujah-hujah berdasarkan al-Quran dan hadis mengenai dilarangnya memakan riba. Di antara salinan terbaik yang pernah ditemui ialah yang diselenggarakan oleh Mahmud ibnu Muhammad Yusuf Terengganu.

Setelah Basmalah, Hamdalah, Selawat dan Salam, pengarangnya Syeikh Abdul Qadir menyebut judul karya ini dalam bahasa Arab, iaitu Risalah fi Bayani Hukmil Bai'I war Riba. Judul terjemahan oleh pengarangnya dalam bahasa Melayu: Risalah Pada Menyatakan Hukum Jual Beli Dan Riba. Berdasarkan kenyataan ini berarti karya ini terdapat dua judul yang berbeda dalam bahasa Arab, yaitu judul yang satu lagi yang tertulis pada bagian depan manuskrip ialah: At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa asy-Syira.

Sebagai keterangan tambahan keseluruhan kandungannya diringkaskan oleh beliau sendiri, dengan katanya ``Ditambahi sedikit dari dalil dan hadis yang menyatakan siksa dan azab atas tiap-tiap orang yang memakan riba, dan orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan, dan orang yang zalim atas harta manusia.'' Sasaran karangan beliau nyatakan, ``Supaya beroleh manfaat dengan dia oleh tiap-tiap orang yang membaca akan dia dari segala orang yang berjual beli laki-laki dan perempuan, kecil dan besar, muda dan tua.'' (hlm. 1).

Setelah itu pengarangnya memasuki perbincangan yang merupakan subjudul awalnya, ialah Asal Yang Mengharuskan Jual Beli Dan Haram Riba. Bagian ini mengemukakan hujah-hujah dari al-Quran dan hadis lengkap dengan perbandingan pendapat para ulama tentang pentafsirannya. Hadis yang pertama diperkenalkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Bermula yang terlebih afdal usaha itu berjual beli yang baik, artinya yang tiada tipu daya padanya dan tiada khianat, dan bekerja laki-laki dengan tangannya.''

Selanjutnya Syeikh Abdul Qadir memetik hadis- hadis yang lain, di antaranya yang dikeluarkan oleh Baihaqi dari Muaz, hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Hakim dari Ibnu Umar, hadis yang dikeluarkan oleh Ishbahani dan Dailami, dan banyak lagi hadis yang dapat dirujuk pada bagian ini (hlm. 2-4). Kemudian memasuki Tanbih Bersalah-salahan Ulama Pada Usaha Yang Terafdal, Syeikh Abdul Qadir memulai kalimat bagian ini dengan katanya, ``Telah berkata oleh beberapa ulama, yang terlebih afdal usaha itu berniaga. Dan telah berkata oleh setengah ulama yang Muhaqqiqin, bermula usaha yang terlebih afdal itu berbuat bendang, kemudian dari itu usaha kepandaian. Seperti berbuat rumah dan perahu, menjahit dan barang sebagainya dari segala kepandaian yang diharuskan oleh syara. Kemudian dari itu pula berniaga.'' Pada bagian ini dimulai dengan khabar dari Muslim terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Tiada menanam oleh orang yang Islam akan satu tanaman dan tiada berbuat bendang ia akan satu bendang, maka makan darinya oleh manusia, dan tiada memakan akan dia oleh binatang, dan tiada suatu yang memakan akan dia melainkan adalah baginya itu sedekah.'' Setelah membandingkan pelbagai pendapat, lalu dimulai perbincangan mengenai jual beli, yaitu dimulai dengan tiga macam bentuk jual beli : Pertama, berjual mata benda yang dilihat. Kedua, dijual akan mata benda yang belum lagi maujud. Ketiga, dijual mata-benda yang ghaib, yang tiada dilihat (hlm. 10-20).

Hukum Riba
Setelah mengupas sesuatu barang yang sah dijual beli atau tidak sahnya secara terperinci, lalu membicarakan mengenai riba. Syeikh Abdul Qadir membuka lembaran ini dengan kata beliau, ``Syahdan hendaklah mengetahui dan belajar pula akan hukum riba karena wajib atas tiap-tiap orang yang berniaga itu belajar segala hukum jual beli, dan hukum riba ...'' Menurut beliau, ``Barangsiapa berniaga dahulu daripada mengetahui hukumnya niscaya haramlah atas orang itu dengan ittifaq segala ulama...'' Mengenai asal hukum haram riba beliau kemukakan ayat al-Quran dan beberapa hadis. Di antara hadis yang disebutkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Satu dirham riba yang memakan akan dia oleh anak Adam itu terlebih sangat besar dosanya pada Allah Taala daripada tiga puluh enam kali mengerjakan zina. Riwayat Imam Ahmad daripada Abi Hurairah.'' Semua permasalahan riba dibicarakan mulai hlm. 20 sampai 31. Selanjutnya disambung dengan Tanbih Haram Menipu Daya Pada Berjual Beli. Di antara hadits yang dipetik pada perbincangan ini terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Dan barangsiapa menipudaya ia akan kami maka tiadalah ia daripada kami.'' (hlm. 32-41). Tidak kalah juga pentingnya beliau memberi subjudul Tanbih Suatu Perjagaan Pada Menyatakan Hukum Orang Yang Mengurangkan Sukatan Dan Timbangan''. (hlm. 46-49).

Keturunan Dan Murid
Syeikh Abdul Qadir ini sangat besar pengaruhnya sama ada kepada masyarakat luar maupun kepada pihak Kerajaan Terengganu. Sangat banyak murid beliau menjadi ulama besar dan pemimpin kerajaan Terengganu. Daripada keturunan (zuriat) beliau demikian juga adanya. Beliau meninggalkan anak 21 orang lelaki dan perempuan.

Mereka ialah:
  1. Wan Abdur Rahim, 
  2. Wan Muhammad Amin, 
  3. Wan Muhammad Sa'id, 
  4. Wan Muhammad Saleh, 
  5. Wan Jamilah, 
  6. Wan Maimunah, 
  7. Wan Putih, 
  8. Wan Hitam, 
  9. Wan Khatijah, 
  10. Wan Maryam, 
  11. Wan Abdullah, 
  12. Wan Halimah, 
  13. Wan Salamah, 
  14. Wan Abu Bakar, 
  15. Wan Ahmad, 
  16. Wan Kaltsum, 
  17. Wan Abdur Rahman, 
  18. Wan Aminah, 
  19. Wan Man, 
  20. Wan Salimah, 
  21. Wan Muda. 

Yang menjadi ulama dan pembesar di Terengganu di antaranya Wan Muhammad Saleh, yaitu berpangkat Tok Kaya Pahlawan atau Datok Sangsura Pahlawan. Cucu beliau bernama Wan Abdul Hamid bin Wan Muhammad Sa'id bin Syeikh Abdul Qadir juga sebagai Datok Sangsura Pahlawan.

Di antara murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas yang sangat terkenal sebagai tokoh atau pun ulama ialah Baginda Sultan Umar (Sultan Terengganu), Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani (Syeikh Duyung), Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Mahmud bin Muhammad Yusuf Kemaman (penyalin pelbagai manuskrip) dan banyak lagi.

Wafat
Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.




Jangan lupa dukung Mistikus Channel Official Youtube Mistikus Blog dengan cara LIKE, SHARE, SUBSCRIBE:




Anda sedang membaca Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas | Silahkan Like & Follow :
| | LIKE, SHARE, SUBSCRIBE Mistikus Channel
| Kajian Sufi / Tasawuf melalui Ensiklopedia Sufi Nusantara, klik: SUFIPEDIA.Terima kasih.
Sudah berapa lama Anda menahan rindu untuk berangkat ke Baitullah? Melihat Ka’bah langsung dalam jarak dekat dan berkesempatan berziarah ke makam Rasulullah. Untuk menjawab kerinduan Anda, silahkan klik Instagram | Facebook.

Post a Comment Blogger Disqus

 
Top