Tersohornya Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada peringkat Nusantara maupun antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya. Kitab yang pertama, Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar. Kitab kedua, Al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang diringkaskan oleh Muhammad Sa'id al-'Amudi dan Ahmad Ali. Kita sangat berterima kasih kepada kedua penulis Arab itu, walau bagaimanapun ketepatan data dan fakta termasuk tahun lahir dan wafatnya perlu ditinjau kembali.
Nama lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi. Lahir di Kampung Dagang, Sambas. Tarikh lahirnya hanya disebut oleh Umar `Abdul Jabbar, ialah pada bulan Safar 1217 H (kira-kira bersamaan 1802 M, pen:), tidak terdapat tulisan lainnya. Wafatnya di Mekah tetapi terdapat perbedaan pendapat mengenai tahun kewafatannya antara Umar Abdul Jabbar dengan Abdullah Mirdad Abul Khair. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahwa Syeikh Ahmad Khathib wafat tahun 1280 H (kira-kira bersamaan 1863 M, pen:), tetapi menurut Umar Abdul Jabbar, pada tahun 1289 H (kira-kira bersamaan 1872 M, pen:). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair sudah pasti ditolak, karena berdasarkan sebuah manuskrip Fat-h al-'Arifin salinan Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, menyebut bahwa ``Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat dari gurunya, Syeikh Ahmad Khathib yang tersebut itu di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah di dalam halwatnya, dan khatamnya pada hari Arba', yang ketujuh hari dari bulan Zulhijjah sanah 1286 Hijrah''. Jadi berarti pada 7 Zulhijah 1286 H, Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh itu Syeikh Ahmad Khathib Sambas wafat tahun 1289 H yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar menepati yang sebenarnya.
Puncak Kemasyhuran
Manusia menjadi terkenal karena berbagai sebab, Syeikh Ahmad Khathib Sambas terkenal karena beliau sebagai Mursyid Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah.
Pada zamannya, di Mekah tentang tariqat itu, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas sekali. Ia bukan saja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar. Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahwa tokoh yang terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga dikenal di Uzbekistan, karena salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua tariqat itu dari Syeikh Ahmad Khathib Sambas.
FAT-HUL `ARIFIN
Fat-hul `Arifin termasuk salah satu istilah yang banyak dibicarakan di kalangan sufi. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah sebuah risalah atau kitab yang berasal dari imlak Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Imlak tersebut ditulis oleh beberapa orang muridnya, dan yang sempat diterbitkan hanyalah versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Manuskrip Fat-hul `Arifin yang dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, yang ada pada penulis ialah:
- Judul Silsilah Tariqat Qadiriyah wan Naqsyabandiyah yang dicatat oleh Abdul Hakim ibnu Marhum Lebai Abdul Kari Sambas, Kampung Asam. Naskhah ini merupakan satu-satunya yang ditulis oleh orang yang berasal dari Sambas sendiri.
- Manuskrip tanpa judul, hanya dinyatakan ``Talkin, zikir dan bai'ah tariqat yang diijazahkan oleh guru kita Maulana asy-Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas yang di dalam negeri Mekah al-Musyarrafah kepada sekalian muridnya''. Pada manuskrip ini dimulai nama pencatatnya bernama Haji Muhammad Sa'id bin Hasanuddin, Imam Singapura, bahwa beliau ``... mengambil talkin, dan bai'ah, dan tawajjuh, serta ijazah dari gurunya Sayid Muhammad bin Ali al-'Aidrus. Dia mengambil dari Sayid Ja'afar bin Muhammad as-Saqaf Pontianak, mengambil dari Muhammad Sa'ad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil dari Syeikh Ahmad Khathib... ``
Manuskrip ini ditulis tahun 1286 H dan selanjutnya disalin oleh Sayid Ahmad bin Ismail al-'Aidrus pada hari Khamis, 4 Zulhijah 1293 H/21 Desember 1876 M, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Desember 2001 M.
- Fat-hul `Arifin, naskhah yang ditulis oleh Haji Muhammad bin Syeikh Abdus Samad al-Kalantani diselesaikan pada tahun 1294 H/1877 M. Dalam manuskrip ini dikombinasikan dengan Tariqat Syathariyah.
Tiga versi yang tersebut di atas merupakan manuskrip yang pernah diterbitkan yaitu versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali, beliau selesai menulis kembali setelah diteliti dan bersih dari corat-coret pada bulan Rejab 1295 H/Julai 1878 M. Naskhah tersebutlah yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, kemudian dicetak pertama kalinya oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1305 H/1887 M, yang diterbitkan itu diberi judul Fat-hul `Arifin.
Walaupun Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai seorang tokoh sufi, namun selain ditonjolkan karya tasawuf Fat-hul `Arifin, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ilmu fikih. Penulis juga memiliki manuskrip fikih karya beliau, yaitu Fatwa Syeikh Ahmad Khathib Sambas Perihal Jumaat. Naskhah tulisan tangan itu dijumpai tahun 1986, bekas koleksi Haji Manshur yang berasal dari Pulau Subi, Kepulauan Riau. Kandungan naskhah selain membicarakan masalah Jumaat terdapat pula fatwa beliau mengenai hukum penyembelihan secara Islam. Pada bagian akhir naskhah terdapat pula suatu nasihat beliau yang panjang, kemudian ditutup dengan beberapa amalan wirid beliau selain amalan Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Sebuah karya (judul yang sebenarnya tidak terdapat) yang membicarakan fikih mulai taharah, sembahyang dan pengurusan mayat. Manuskrip tanpa dinyatakan tarikh, hanya terdapat tahun penyalinan dinyatakan ``... Hari Khamis, 11 Muharam 1281 H oleh Haji Ahmad ibnu al-Marhum Penggawa Nashir ahli al-Kayung jama'ah Tuan Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah al-Mukarramah ...'' Manuskrip di atas diperoleh di Kampung Mendalok, Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat, pada 6 Syawal 1422 H/20 Desember 2001 M.
Murid-Muridnya
Besarnnya pengaruh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber dari Syeikh Ahmad Khathib Sambas di dunia Melayu, melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang lebih dahulu. Di Jawa misalnya, dapat kita simak pada beberapa lembar tulisan Zamakhsyari Dhofier dalam bukunya Tradisi Pesantren, beliau menyebut, ``Dalam abad ke-19, organisasi-organisasi tariqat di Jawa memperoleh semangat dan dukungan baru dari masyarakat. Hal ini disebabkan oleh kedatangan para pengikut Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan Sulaiman Effendi dari Mekah''. Seterusnya, ``Namun yang cukup menarik ialah di Jawa Syeikh Ahmad Khatib Sambas dikenal sebagai pendiri suatu tariqat baru, Tariqat Naqsyabandiyah''. Selanjutnya, ``Kedudukan Syeikh Ahmad Khatib sebagai seorang sarjana Islam perlu kita sadari betul-betul ...''. Selanjutnya, ``Adalah suatu hal yang penting bahwa seorang sarjana besar seperti Syeikh Sambas, kepada siapa hampir semua kiyai di Jawa menelusuri penealogi intelektual mereka juga dikenal sebagai seorang pemimpin tariqat''.
Kalau demikian yang dikatakan, sekarang mari kita menjajaki kemantapan system pengkaderan yang dilakukan kepada murid-muridnya. Salah seorang muridnya bernama Syeikh Zainal Abidin yang berasal dari Kelantan diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat sebagai `Ketua Khalifah' di sana. Jadi berarti murid-muridnya yang lain, yang semuanya berasal dari Kalimantan Barat, adalah di bawah pengawasan Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani. Selanjutnya semua mereka disuruh supaya mendalami pelbagai ilmu kepada ulama yang berasal dari Kelantan itu.
Kebenaran untuk mentawajjuh/ membai'ah sekali-kali tidak dibenarkan kepada murid-murid yang lain selagi Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani masih hidup, atau selagi beliau masih berada di Kalimantan Barat. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di Kampung Sebedang, Sambas.
Yang dilantik oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas sebagai khalifahnya di Mekah ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, beliau mempunyai murid yang banyak sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Untuk di Jawa terdapat tiga orang wakil khalifah, iaitu: Di Jawa Timur, Syeikh Ahmad Hasbullah bin Muhammad al- Manduri (Madura) dan lain-lain. Di Jawa Tengah, Syeikh Zarkasyi Barjan, Purworejo Syeikh Ibrahim Berumbung. Di Jawa Barat, Syeikh Asnawi Banten dan lain-lain.
Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali. Beliau juga diberikan kebenaran mentawajjuhkan. Salah seorang muridnya yang menjadi ulama besar ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman yang berasal dari Ambon. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal dari Sarawak. Di antara muridnya ialah Haji Muhammad Arsyad bin Abdur Rahman Pontianak. Murid Haji Abdul Lathif yang berasal dari Sarawak yang menjadi ulama besar, mengajar di Masjidil Haram, Mekah, ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi.
Tetapi selanjutnya Syeikh Utsman Sarawak ini menerima tawajjuh Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah sekali lagi dari Syeikh Abdul Karim al-Bantani di Mekah.
Masih banyak kisah murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang belum sempat disebutkan di sini, penulis menyimpulkan saja bahwa institusi pengajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber dari Syeikh Ahmad Khatib Sambas yang masih kekal sampai sekarang ialah dari muridnya yang bernama Syeikh Abdullah Mubarak. Pondok Pesantren yang beliau dirikan 7 Rajab 1323 H/ 5 September 1905 M masih kekal sampai sekarang, bahkan terkenal di seluruh Indonesia dan Malaysia. Sistem pelajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu dikembangkan dengan penyesuaian pada zaman modern.
Post a Comment Blogger Disqus