Kehebatan Syeikh Kuala memang tidak boleh dinafikan di Aceh. Beliau terkenal ke seantero Indonesia malahan Nusantara dan kepulauan Melayu. Di Aceh sendiri beliau di antara beberapa ulama besar dan agung yang menjadi sebutan sepanjang masa. Dalam konteks Aceh beliau dianggap sebagai pelita yang menyalakan syiar Islam di sana khasnya pada abad ke 17. Ulama yang lain ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniry dan Syamsuddin As Samathrani.
Hamka di dalam makalahnnya berjudul Aceh Serambi Mekah (lihat buku Sejarah Masuk dan Berkembangnya Islam di Indonesia - Prof. A Hasjmy, Al Maarif, 1993) menyebut, ``Apabila kita sebut nama dua orang ulama Aceh akan samalah arti seribu atau dua ribu orang.'' Kata-kata itu dirujuk kepada salah seorang ulama di atas yaitu Syeikh Kuala. Maknanya kehebatan dan kealiman Syeikh Kuala setaranya dengan kewarakan dan kealiman seribu hingga dua ribu manusia lain.
Idola
Nama penuh Syeikh Kuala ialah Abdurrauf dan ditimangkan dengan nama Syeikh Amiruddin Syeikh Abdurrauf Al-Fansuri As-Singkly. Beliau lahir pada 1001 H (1593 M) di Singkel sebuah perkampungan di pesisir pantai di Aceh. Ayahnya bernama Ali Al-Fansuri merupakan penggagas Sekolah Agama Dayah Simpang Kanan dan seorang ulama terkenal di daerahnya.
Fansuri di ujung namanya adalah sempena nama salah seorang idola (gurunya), Hamzah Fansuri dan sekolah tempatnya mula belajar. Abdurrauf berpengetahuan luas dalam serba serbi cabang ilmu. Beliau menguasai ilmu fikih, tasawuf, mantik, falsafah, hukum, kaji alam dan sebagainya. Beliau adalah gedung ilmu kepada masyarakat Aceh khususnya pada zaman Sultan Safiatuddin Johan Berdaulat (1641-1675).
Malah pada zaman pemerintahan tiga ratu yang akhir (pemerintah Raja Perempuan); Nurul Alam, Zakiatuddin dan Kamalat Syah, Abdurrauf bertindak menjadi pemerintah di belakang tabir. Atas kapasitasnya sebagai Kadi Malaliku Adil (Kadi Besar) beliau yang memutuskan segala hukum dan menjadi penasehat atau tempat rujukan utama kepada pemerintah. Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri di Dayan (Madrasah) Simpang Kanan, di kawasan pedalaman Singkel. Selepas itu ke sekolah tinggi di Barus (Dayan Tengku Chik) yang dipimpin oleh Hamzah Fansuri. Di sekolah ini beliau belajar ilmu agama, sejarah, mantik, falsafah, sastra Arab/Melayu dan juga bahasa Parsi.
Setelah tamat belajar di sekolah berkenaan beliau meneruskan pengajian ke sekolah Samudra Pasai yang dipimpin oleh Syeikh Syamsuddin As Samathrani, salah seorang ulama yang juga merupakan pengikut kepada Hamzah Fansuri yang beraliran atau berfaham `wahdatul wujud'.
Sewaktu Syamsuddin diangkat menjadi Qadli Malikul Adil (Kadi Besar) pada zaman Sultan Iskadar Muda Darma Wangsa Perkasa Alam Syah, Abdurrauf bertolak ke Mekah dan merantau ke beberapa buah negara Asia Barat lain untuk mendalami ilmu di sana. Semasa di Mekah beliau tinggal di Qusyasy dan belajar dengan Sheikh Sharifuddin Ahmad Al Dajaany Al Qusyasy (1583 - 1660) bertempat di rumah Aceh.
Beliau dibantu oleh muridnya Sheikh Ibrahim Al-Kauraany (1616-1689). Semasa di sini beliau bergaul dengan banyak ulama terkenal berasal dari Indonesia yang menuntut ilmu di sana, seperti Sheikh Nawawi Banten, Sheikh Abdul Samad Petani dan lain-lain. Beliau juga sempat belajar dengan Sheikh Nuruddin Ar-Raniry semasa ulama terkenal dengan faham `wahdatul syuhud' itu berada di Mekah.
Beliau tinggal selama 19 tahun di Mekah. Pada tahun 1063 H beliau kembali ke Aceh. Dan apabila Nuruddin Ar-Raniry kembali ke Gujarat, India beliau dilantik menjadi Kadi Besar menggantikan Nuruddin. Sebelum itu Abdurauf menjadi mudir (guru besar) di Dayah Baiturrahman. Peranannya sebagai kadi cukup besar serta berpengaruh dan peluang ini secara tidak langsung membawa kepada kemajuan dan pengembangan Islam di Aceh, khususunya dan di Nusantara umumnya. Aceh yang sudah dikenali dengan julukan serambi Mekah terus diunggulinya.
Kombinasi beliau dengan Sutlan Iskandar Muda meletakkan Aceh di tempat tertinggi dalam peta Islam ketika itu. Keagungan ini begitu dijunjung oleh warga Aceh sehingga terbetik kata di dalam bahasa Aceh berbunyi ``Adat bak peutus Merehum, syarak bak Syikeh di Kuala'' maksudnya, ``Adat di bawah kekuasaan almarhum (raja), sementara syariat (Islam) di bawah Syeikh Kuala.
Musnah
Peribahasa ini menjelaskan betapa besarnya kuasa, peranan dan pengaruh Abdurrauf dalam pemerintahan ketika itu yang hampir sama besar dengan kuasa sultan. Ketika gabungan antara umara dan ulama inilah juga Aceh mencapai kegemilangan.
Sementara itu Hamka yang juga ahli filosofi dan ulama modern Indonesia, di dalam tulisannya pernah menurunkan sebaris kata-kata yang dinukilkan oleh Fakih Shaghir seorang ulama terkenal di zaman Perang Paderi, yaitu nenek dari Sheikh Taher Jalaluddin az-Azhari (meninggal dunia pada tahun 1956 di Kuala Kangsar), yang berbunyi: ``Maka adalah saya Fakih Shaghir menerima cerita dari bapa saya, sebabnya saya mengambil pegangan ilmu hakikat, karena cerita ini adalah ia setengah dari adat dan tertib waruk orang yang mengambil fatwa juga adanya.
Yakni adalah seorang aulia Allah dan khutub lagi kasyaf lagi mempunyai keramat yaitu, di tanah Aceh yaitu Tuan Syeikh Abdurrauf.''
Daripada sebaris kata-kata itu dapat disimpulkan bahwa martabat dan derajat Syeikh Kuala, (Abdurrauf) itu bukan kepalang. Beliau adalah seorang ulama yang bertaraf wali dan mendapat keberkatan begitu tinggi di sisi Allah. Walaupun beliau dianggap sebagai ulama yang mempunyai karamah dan diberikan berbagai keistimewaan (maunah) oleh Allah, tidak banyak karamah yang berunsur karut marut (khurafah) atau di luar pemikiran manusia dinukil pada kanvas kehidupannya. Mungkin perkara ini disembunyikan untuk tidak menimbulkan riak dan kekeliruan dimata umum.
Post a Comment Blogger Disqus